Tuesday, March 31, 2009

PROMO! Album lagu karaoke "Gembira Sekali"


SIARAN UMUM

PELANCARAN ALBUM KARAOKE KANAK-KANAK “GEMBIRA SEKALI” BINGKAS KEBAYAN


Persatuan Anjung Seni Bingkas Kebayan, Malaysia (Bingkas Kebayan) akan melancarkan album karaoke kanak-kanak bertajuk “Gembira Sekali” pada 25 April 2009, jam 3.00-5.00 petang, di Pentas Ruang Legar, Sempena Pesta Buku Antarabangsa Malaysia, 18-26 April, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Pelancaran Gembira Sekali akan disempurnakan oleh Puan Mek Yam bt Jusoh, Presiden Srikandi Tun Fatimah (Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tun Fatimah Johor Bahru).

Pada pelancaran itu Kanak-kanak Bingkas Kebayan akan mempersembahkan kesemua 9 buah lagu dan 1 puisi yang terdapat di dalam Gembira Sekali. Antara penyumbang puisi dan lagu untuk album ini ialah Datuk Dr. A. Samad Said, Az A. Samad Said, Rahimidin Zahari, Ladin Nuawi, Zack Rio, Bakar Othman dan Tengku Muhammad Tengku Muda.

Di samping itu diadakan demostrasi nyanyi dan gerak yang mudah dan berkesan berdasarkan lagu Allah Maha Esa, Rumah Allah, Tepuk Suka-suka dan Gembira Sekali. Pengunjung akan dijemput untuk menyertai demonstrasi ini.

Sepanjang persembahan itu Ibu Ita dan Makwe, jurulatih busana, tatarias dan prop Bingkas Kebayan akan mengadakan bengkel membuat boneka daripada bahan-bahan terbuang.

Lagu-lagu yang terdapat di dalam Gembira Sekali bertemakan agama, alam sekitar, kasih sayang dan perpaduan. Dipersembahkan secara ceria dengan puisi indah dan mudah dihayati. Sesuai dijadikan alat bantu mengajar, ‘main kata’, mengadakan pementasan di semua tempat, senamam/pergerakan, hiburan keluarga dan cenderamata oleh guru, pelajar, pembantu masyarakat, petugas dan keluarga. Ianya amat berguna untuk membantu kanak-kanak yang bermasalah membuat pergerakan, menggunakan bahasa dan berpuisi.

Bingkas Kebayan merupakan NGO yang bergiat aktif untuk pembangunan kanak-kanak melalui kesenian teater dan puisi sejak tahun 1999. Bingkas Kebayan juga telah mementaskan 9 buah teater kanak-kanak dan berbelas-belas sketsa puisi.

Untuk makluman lanjut sila hubungi Ladin Nuawi (0123721453) dan puan Siti Nor Rina (0122293562) atau layari laman web www.bingkaskebayanmalaysia.com.
Posted by Picasa

No comments: