Tuesday, March 31, 2009

PROMO! Album lagu karaoke "Gembira Sekali"


SIARAN UMUM

PELANCARAN ALBUM KARAOKE KANAK-KANAK “GEMBIRA SEKALI” BINGKAS KEBAYAN


Persatuan Anjung Seni Bingkas Kebayan, Malaysia (Bingkas Kebayan) akan melancarkan album karaoke kanak-kanak bertajuk “Gembira Sekali” pada 25 April 2009, jam 3.00-5.00 petang, di Pentas Ruang Legar, Sempena Pesta Buku Antarabangsa Malaysia, 18-26 April, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Pelancaran Gembira Sekali akan disempurnakan oleh Puan Mek Yam bt Jusoh, Presiden Srikandi Tun Fatimah (Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tun Fatimah Johor Bahru).

Pada pelancaran itu Kanak-kanak Bingkas Kebayan akan mempersembahkan kesemua 9 buah lagu dan 1 puisi yang terdapat di dalam Gembira Sekali. Antara penyumbang puisi dan lagu untuk album ini ialah Datuk Dr. A. Samad Said, Az A. Samad Said, Rahimidin Zahari, Ladin Nuawi, Zack Rio, Bakar Othman dan Tengku Muhammad Tengku Muda.

Di samping itu diadakan demostrasi nyanyi dan gerak yang mudah dan berkesan berdasarkan lagu Allah Maha Esa, Rumah Allah, Tepuk Suka-suka dan Gembira Sekali. Pengunjung akan dijemput untuk menyertai demonstrasi ini.

Sepanjang persembahan itu Ibu Ita dan Makwe, jurulatih busana, tatarias dan prop Bingkas Kebayan akan mengadakan bengkel membuat boneka daripada bahan-bahan terbuang.

Lagu-lagu yang terdapat di dalam Gembira Sekali bertemakan agama, alam sekitar, kasih sayang dan perpaduan. Dipersembahkan secara ceria dengan puisi indah dan mudah dihayati. Sesuai dijadikan alat bantu mengajar, ‘main kata’, mengadakan pementasan di semua tempat, senamam/pergerakan, hiburan keluarga dan cenderamata oleh guru, pelajar, pembantu masyarakat, petugas dan keluarga. Ianya amat berguna untuk membantu kanak-kanak yang bermasalah membuat pergerakan, menggunakan bahasa dan berpuisi.

Bingkas Kebayan merupakan NGO yang bergiat aktif untuk pembangunan kanak-kanak melalui kesenian teater dan puisi sejak tahun 1999. Bingkas Kebayan juga telah mementaskan 9 buah teater kanak-kanak dan berbelas-belas sketsa puisi.

Untuk makluman lanjut sila hubungi Ladin Nuawi (0123721453) dan puan Siti Nor Rina (0122293562) atau layari laman web www.bingkaskebayanmalaysia.com.
Posted by Picasa

Tuesday, March 10, 2009

Petikan dari Harian Metro, Selasa 10 Mac 2009

myMetro » Rap

Selami keperitan Gaza

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

Rap
SERANGAN dan keganasan rejim Zionis di Gaza selama 22 hari sudah hampir sebulan berlalu namun tangisan serta penderitaan penduduk Palestin tidak mungkin dilupakan.

Manakan tidak, penduduk Palestin yang hidup serba kekurangan diganyang, dibunuh dan diledakkan dengan bom tanpa henti sedangkan negara berkuasa besar dunia hanya sekadar melihat.

Simpati terhadap penduduk Palestin, kematian serta syahidnya ribuan nyawa di sana menyebabkan bantuan terutama dalam bentuk kewangan mencurah-curah datang.

Negara kita juga tidak berkecuali, bantuan diberi bukan saja dalam bentuk wang malah simpati terhadap penduduk Gaza serta kecaman dan kutukan terhadap Israel dizahirkan dalam bentuk bait-bait puisi, lagu, konsert dan perhimpunan orang ramai.

Semua sebagai satu medium luahan rasa marah, sedih dan simpati terhadap saudara seagama yang menjadi mangsa kekejaman tentera Yahudi tanpa henti.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga mengambil langkah sama menerusi siaran langsung Zoom In @ RTM Khas: Doaku Untukmu... Gaza di TV2 Ahad lalu bagi menzahirkan simpati dan keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Palestin.

Ia boleh diibaratkan serampang dua mata kerana selain berhibur menerusi persembahan, penonton juga berpeluang menderma ke Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin.

Penonton yang mendapat selendang serta topi berwarna bendera Palestin sebagai tanda sokongan terhadap negara itu berpeluang menyumbang ke tabung itu yang bawa kakitangan RTM sepanjang persembahan. 

Siaran langsung bertempat di Auditorium Perdana, Wisma Radio, Angkasapuri itu menampilkan persembahan artis seperti Aiman, Hafiz Hamidun, Waheeda, kumpulan In Team, Meet Uncle Hussain dan Kumpulan Teater Bingkas Kebayan. 

Lagu dan persembahan sketsa yang dipersembahkan menampilkan tema kemanusiaan, keamanan dan persaudaraan sejagat.