HIBURAN
Semangat juang Bingkas Kebayan

MENDENGAR bait-bait puisi berjudul Putera Puteri Bumi Anbia itu, maksudnya begitu mendalam untuk difahami bagi seorang kanak-kanak.
Namun, bagi kumpulan teater Bingkas Kebayan yang majoritinya dianggotai kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 10 tahun, pemahaman mereka tentang puisi itu begitu mendalam.
Malah, mereka sendiri telah mencipta lagu yang bakal mewarnakan lagi teater lakonan mereka itu.
Lagu berjudul, Menyerah Pada Allah itu terhasil setelah mereka menghayati puisi yang ditulis oleh pengarah teater itu, Ladin Nuawi, selain terpanggil selepas melihat kekejaman tentera Israel di bumi Palestin.
Tatkala berpeluang menonton klip video perang di Palestin yang menyaksikan ratusan kanak-kanak dan wanita mati dibunuh tanpa belas kasihan oleh tentera Israel, mereka menjadi begitu teruja untuk membantu mangsa-mangsa itu.

Mencurahkan segala semangat juang sebagai pembela keamanan, Bingkas Kebayan berkongsi kesedihan yang menimpa rakan-rakan sebaya mereka di Palestin itu, dengan menghasilkan sebuah teater yang berjudul Anak-Anak Bumi Anbia untuk memberi kesedaran kepada kanak-kanak mahupun remaja di luar tentang kesengsaraan rakyat Palestin.
"Bila menonton video perang di Palestin, saya rasa sedih, marah dan geram. Apa yang saya mampu buat ketika menonton ialah mengucap dua kalimah syahadah untuk mangsa-mangsa perang itu.
"Kemudian kami berdoa beramai-ramai agar kekejaman di sana dapat ditamatkan secepat yang mungkin.
"Dengan teater sebegini, mungkin ia mampu membuka mata kanak-kanak seusia dengan saya tentang perang di luar sana," tutur salah seorang pelakon teater ini, Mohammad Hazeeq Afieff Azman, 7.
Bagi kakak Hazeeq pula, Nuroull Lieyana Afieffah, 17, dia memahami bahawa untuk pergi ke negara yang diselimuti kekejaman itu untuk membantu mangsa-mangsa di sana bukanlah satu perkara mudah.

Harapannya cuma satu. Melalui teater yang akan dipersembahkan pada Malam Demimu Palestin di Laman Santai, Istana Budaya (IB) itu, ia dapat menyedarkan rakyat betapa bertuahnya menjadi seorang rakyat Malaysia.
"Setiap kali menonton video perang di Palestin malah berita-berita di televisyen, saya dah tak sanggup untuk melihat kekejaman itu.
"Melalui teater itu, kami mahu menyedarkan kepada khalayak bahawa kita patut bersyukur tinggal di bumi Malaysia yang harmoni itu.
"Tapi dengan teater itu juga kami mengharapkan lebih sumbangan dapat dikumpulkan agar diberi kepada mangsa-mangsa perang Palestin," ujarnya tegas.
Sementara itu, beritahu Ladin, anggota Bingkas Kebayan begitu teruja untuk melakonkan watak-watak mangsa perang agar dapat disampaikan terus kepada penonton yang menyaksikannya nanti pada 23 Januari ini pada pukul 8 malam.
"Saya dan penerbit teater itu, Siti Nor Rina Nuawi, banyak memberikan informasi mengenai perang di Palestin tak kira sama ada di akhbar mahupun TV.
"Kami mahu mereka mendalami apa yang berlaku di Palestin. Saya harap, dengan pementasan teater itu nanti, ia dapat membantu sedikit sebanyak rakyat Palestin," katanya.

Malam Demimu Palestin anjuran Utusan Melayu (M) berhad itu diadakan sebagai tanda protes atau bantahan kepada Israel yang telah mencabut nyawa hampir seribu rakyat Palestin.
No comments:
Post a Comment