Information regarding Bingkas Kebayan (bilingual) Tel: +6012 372 1453. Email: bingkas_kebayan@yahoo.com; ladinuawi@yahoo.com.my; siti_norrina@yahoo.com
Thursday, January 29, 2009
PUTERA-PUTERI BUMI ANBIA
PUTERA-PUTERI BUMI ANBIA
Ladin Nuawi
Di sini tiada derita
Ini bumi anbia
Tempat lahir para nabi
Jejak-jejak nabi masih di sini
Janji yang satu tetap di sini
Dia tidak pernah mungkiri janji
Musuh boleh runtuhkan rumah kami;
bukan kiblat kaabah kami.
Mereka boleh sekat suara kami;
bukan suara doa kami.
Mereka boleh paksa jutaan janji;
Bukan janji jihad kami.
Mereka boleh bunuh saudara kami;
Satu mati, ratusan Siti Aisyah akan terus lahir
Sepuluh mati, ribuan Bilal akan terus lahir.
Seratus mati, jutaan kami akan terus lahir
Di sini tiada derita
Ini bumi anbia.
Inilah lagu kami:
Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!
………..
KEPADA ALLAH
Ladin Nuawi
Lagu: Bingkas Kebayan
Pantang sekali menyerah kalah
Hanya menyerah kepada Allah
Pantang sekali menjadi hamba
Hanya hamba kepada Allah.
Wednesday, January 28, 2009
Petikan dari Utusan Online
ARKIB : 24/01/2009
2,000 penonton sayu
dan SAIFUL HAIZAN HASAM
pengarang@utusan.com.my
![]() |
M. NASIR bersama kumpulan teater Bingkas Kebayan menyanyikan lagu Masirah sebelum mengakhiri Malam Puisi Demimu Palestin anjuran Kumpulan Utusan bersama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Luar di Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam tadi. |
KUALA LUMPUR 23 Jan. – Sedih, hiba dan sayu. Itulah gambaran yang jelas terpancar di wajah lebih 2,000 penonton termasuk tetamu kenamaan pada Malam Puisi Utusan Demimu Palestin di sini malam ini.
Walaupun Malaysia dipisahkan ribuan kilometer dengan Gaza namun dalam majlis di Laman Santai, Istana Budaya itu, mereka ternyata sangat hampir dengan penderitaan dan kesengsaraan dahsyat rakyat Palestin.
Ini jelas dilihat apabila setiap kali sesebuah puisi disampaikan, para tetamu dilihat terpaku menghayati bait-bait yang menceritakan keperitan dan penderitaan rakyat Gaza menghadapi kekejaman Israel.
Senario ini bertepatan dengan matlamat Kumpulan Utusan selaku penganjur Malam Puisi Utusan Demimu Palestin iaitu sebagai wadah menyatakan rasa simpati terhadap nasib rakyat Palestin selain manifestasi mengutuk tindakan kejam rejim Zionis.
Penganjuran majlis itu mendapat kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Luar.
Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang turut hadir, mendeklamasikan puisi bertajuk Untukmu Palestin, nukilan isterinya, Datin Seri Shuryani Shuaib.
Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang tidak dapat hadir kerana urusan rasmi di luar negara, menyampaikan salam sambil menyatakan sokongan terhadap usaha Kumpulan Utusan itu.
Tidak ketinggalan mendeklamasikan puisi ialah Jihad Abu Ghoush iaitu anak Duta Palestin, Abdelaziz Abu Ghoush yang hadir bersama isterinya, Iman Abu Ghoush.
Pada majlis itu, 21 penyair mendeklamasikan puisi termasuk Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said yang menyampaikan dua buah puisi ciptaannya pada majlis tersebut.
Samad dalam gayanya tersendiri menyampaikan puisi nukilannya sendiri bertajuk Anak-Anak Palestina dan Bendera Tengkorak.
Majlis yang berlangsung hampir tiga jam itu turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Dr. Muzahet Masruri; Setiausaha Bahagian Kementerian Luar, Datuk Mohamad Kamal Yan Yahaya dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali.
Hadir sama Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Aziz Ishak, Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamad Johari Shaarani dan Pengurus Negara Islamic Relief Malaysia (IRM), Zawahir Abdullah.
Tetamu kehormat lain ialah bekas Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin dan beberapa kerabat diraja.
Penggiat-penggiat sastera tersohor tanah air yang turut menjayakan Malam Puisi Demimu Palestin ialah Dr. Lim Swee Tin, Zaen Kasturi, Shukri Abdullah, Puzi Hadi dan Rahimidin Zahari.
Sementara itu, beberapa selebriti tanah air juga tidak ketinggalan mendeklamasikan puisi.
Antaranya, Aznil Nawawi yang turut bertindak sebagai pengacara; Zubir Ali menerusi kumpulannya, Trio Harmoni, penerbit filem, Datuk Yusof Haslam bersama anaknya Shamsul, David Teo, kumpulan Meet Uncle Hussain, Engku Emran, Fouziah Ghous, kumpulan Kopratasa, Sohaimi Meor Hassan dan M. Nasir.
Selain penganjuran Malam Puisi Demimu Palestin, Kumpulan Utusan turut menubuhkan tabung Dana Kemanusiaan Palestin (Dakap) dengan kerjasama IRM.
Dalam pada itu, Mohamed Hashim dalam ucapannya berkata, penganjuran Malam Puisi Demimu Palestin ini merupakan satu usaha menyediakan platform kepada rakyat Malaysia untuk menghayati kesedihan dan kesusahan rakyat Palestin.
“Apa yang penting ialah matlamat menyemai perasaan simpati kepada rakyat Palestin tercapai selain menunjukkan perasaan benci kita terhadap kekejaman yang dilakukan Israel.
“Tabung Dakap pula ternyata mendapat sambutan apabila sehingga kini berjaya mengutip lebih RM500,000,” katanya.
Wednesday, January 21, 2009
Petikan dari Kosmo! Online
HIBURAN
Semangat juang Bingkas Kebayan
feride.hikmet@kosmo.com.my

MENDENGAR bait-bait puisi berjudul Putera Puteri Bumi Anbia itu, maksudnya begitu mendalam untuk difahami bagi seorang kanak-kanak.
Namun, bagi kumpulan teater Bingkas Kebayan yang majoritinya dianggotai kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 10 tahun, pemahaman mereka tentang puisi itu begitu mendalam.
Malah, mereka sendiri telah mencipta lagu yang bakal mewarnakan lagi teater lakonan mereka itu.
Lagu berjudul, Menyerah Pada Allah itu terhasil setelah mereka menghayati puisi yang ditulis oleh pengarah teater itu, Ladin Nuawi, selain terpanggil selepas melihat kekejaman tentera Israel di bumi Palestin.
Tatkala berpeluang menonton klip video perang di Palestin yang menyaksikan ratusan kanak-kanak dan wanita mati dibunuh tanpa belas kasihan oleh tentera Israel, mereka menjadi begitu teruja untuk membantu mangsa-mangsa itu.

Mencurahkan segala semangat juang sebagai pembela keamanan, Bingkas Kebayan berkongsi kesedihan yang menimpa rakan-rakan sebaya mereka di Palestin itu, dengan menghasilkan sebuah teater yang berjudul Anak-Anak Bumi Anbia untuk memberi kesedaran kepada kanak-kanak mahupun remaja di luar tentang kesengsaraan rakyat Palestin.
"Bila menonton video perang di Palestin, saya rasa sedih, marah dan geram. Apa yang saya mampu buat ketika menonton ialah mengucap dua kalimah syahadah untuk mangsa-mangsa perang itu.
"Kemudian kami berdoa beramai-ramai agar kekejaman di sana dapat ditamatkan secepat yang mungkin.
"Dengan teater sebegini, mungkin ia mampu membuka mata kanak-kanak seusia dengan saya tentang perang di luar sana," tutur salah seorang pelakon teater ini, Mohammad Hazeeq Afieff Azman, 7.
Bagi kakak Hazeeq pula, Nuroull Lieyana Afieffah, 17, dia memahami bahawa untuk pergi ke negara yang diselimuti kekejaman itu untuk membantu mangsa-mangsa di sana bukanlah satu perkara mudah.

Harapannya cuma satu. Melalui teater yang akan dipersembahkan pada Malam Demimu Palestin di Laman Santai, Istana Budaya (IB) itu, ia dapat menyedarkan rakyat betapa bertuahnya menjadi seorang rakyat Malaysia.
"Setiap kali menonton video perang di Palestin malah berita-berita di televisyen, saya dah tak sanggup untuk melihat kekejaman itu.
"Melalui teater itu, kami mahu menyedarkan kepada khalayak bahawa kita patut bersyukur tinggal di bumi Malaysia yang harmoni itu.
"Tapi dengan teater itu juga kami mengharapkan lebih sumbangan dapat dikumpulkan agar diberi kepada mangsa-mangsa perang Palestin," ujarnya tegas.
Sementara itu, beritahu Ladin, anggota Bingkas Kebayan begitu teruja untuk melakonkan watak-watak mangsa perang agar dapat disampaikan terus kepada penonton yang menyaksikannya nanti pada 23 Januari ini pada pukul 8 malam.
"Saya dan penerbit teater itu, Siti Nor Rina Nuawi, banyak memberikan informasi mengenai perang di Palestin tak kira sama ada di akhbar mahupun TV.
"Kami mahu mereka mendalami apa yang berlaku di Palestin. Saya harap, dengan pementasan teater itu nanti, ia dapat membantu sedikit sebanyak rakyat Palestin," katanya.

Malam Demimu Palestin anjuran Utusan Melayu (M) berhad itu diadakan sebagai tanda protes atau bantahan kepada Israel yang telah mencabut nyawa hampir seribu rakyat Palestin.
Sunday, January 4, 2009
Salam Tahun Baru 2009
PENGUMUMAN!!!
Bengkel Teater Kanak-kanak Bingkas Kebayan 2009
10, 11 & 17 Januari 2009, 2ptg
@
No.1, Jalan Pandan Indah 5/8, Pandan Indah, 55100 Kuala Lumpur (bersebelahan Menara MPAJ, Pandan Indah)
Bengkel merangkumi lakonan, lagu, muzik, puisi warisan, boneka & busana. Terbuka untuk kanak-kanak prasekolah, remaja, lepasan sekolah/IPT & keluarga.
Percuma untuk OKU & pendidik.
Hanya dikenakan yuran pendaftaran RM50 sahaja.
Hubungi 018-2240253/ 012-3721453.